July 22, 2011

MASJID









TAJUK :
Peranan dan sumbangan Masjid Jamek Kampung Baru kepada masyarakat setempat

                                                            
                                            DISEDIAKAN UNTUK :
Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah CTU101


DISEDIAKAN OLEH:
Jasmin binti Archad
2011285338
BMD1 Ah


PROGRAM :
Diploma Analisis Pelaburan


TARIKH HANTAR :
1.8.2011






ISI KANDUNGAN :

                                                 1. Isi kandungan
                                                 2. Abstrak
                                                 3. Pendahuluan
                                                 4. Pengertian / konsep masjid
                                                 5. Ahli Jawatankuasa
                                                 6. Program / Aktiviti
                                                 7. Masalah dan Penyelesaian
                                                 8. Penutup
                                                 9. Bibliografi








ABSTRAK

   Masjid dapat ditakrifkan sebagai tempat bagi umat Islam menunaikan ibadat khusus seperti solat,membaca Al-Quran dan iktikaf. Selain itu, masjid juga berfungsi sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti kebudayaan,kesenian,perniagaan, dan juga sebagai pusat perkembangan ilmu serta dakwah Islamiah bagi umat Islam. Masjid tidak mempunyai rupa bentuk yang tetap kerana ia bergantung kepada budaya masyarakat Islam di sesuatu kawasan tersebut. Dari sudut bahasa pula masjid bermaksud tempat bersujud. Walau bagaimanapun,tempat solat yang tidak mengadakan Solat Jumaat lebih daripada 3 kali dikenali sebagai surau atau musala. Antara perkara yang paling penting berkaitan dengan pembinaan masjid adalah struktur , reka bentuk binaan serta kedudukan masjid mestilah dikiblatkan ke arah kaabah di Makkah. Masjid menurut Islam adalah tempat untuk kita menyembah dan beribadah kepada Allah. Namun dalam memastikan objektif masjid itu tercapai dengan sempurnanya, perkara yang terpenting adalah kita hendaklah  menjaga adat,tatasusila serta peraturan masjid tersebut agar kesucian dan keberkatannya dapat terus dikekalkan.

   Saya telah memilih masjid sebagai tajuk projek saya. Saya memilih tajuk ini kerana ianya terletak berhampiran dengan kawasan rumah saya dan memudahkan saya menjalankan kajian serta memberi peluang kepada saya untuk menemuramah AJK masjid tersebut. Masjid ini agak terkenal dalam kalangan masyarakat islam di negara kita kerana terletak di kawasan bersejarah iaitu di Kampung Baru . Bukan itu sahaja, YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kita juga pernah menjejakkan kaki beliau ke masjid ini. Masjid yang saya maksudkan ialah Masjid Jamek Kg.Baru (MJKB) iaitu masjid utama bagi penduduk di kawasan ini. Masjid ini telah menjalankan pelbagai program antaranya adalah Solat Jumaat Bersama YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, Majlis Khatam Tadarus Al-Quran, Majlis Ibadah Qurban & Aqiqah dan banyak lagi. Program yang dijalankan ini sedikit sebanyak telah membuka mata penduduk  kawasan ini mengenai kepentingan Islam dalam kehidupan seharian kita. Selain itu,saya juga akan bercerita dengan lebih lanjut mengenai AJK tertinggi bagi masjid ini ,masalah dan penyelesaian bagi masjid ini serta cadangan yang dapat diberikan agar masjid dapat melakukan penambahbaikan pada masa akan datang. Saya juga akan menghuraikan program serta sumbangan masjid ini terhadap penduduk di sekitarnya.

   Melalui projek ini, saya dapat mengetahui latar belakang serta sejarah penubuhannnya. Masjid Jamek Kampung Baru pada asalnya dibina atas kerjasama serta desakan penduduk yang mahukan sebuah masjid didirikan di kawasan perumahan mereka. Sejarah pembinaannya bermula dengan sumbangan sebidang tanah seluas 4 lot oleh pedagang Melayu, iaitu Bachik Abdullah. Bachik Abdullah merupakan anak jati dari negeri Melaka telah menetap di Jalan Melayu, Kuala Lumpur. Beliau terkenal sebagai seorang ketua dalam kalangan Orang Melayu kerana sifatnya yang dermawan. Ini menunjukkan bahawa beliau amat mementingkan kebajikan penduduk serta kepentingan masjid kepada penduduknya. Selain itu juga ,saya dapat mengetahui program dan aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun bagi menarik minat para remaja untuk berkunjung ke masjid ini dengan lebih kerap lagi. Bukan itu sahaja, saya juga dapat mengenali AJK masjid ini dan mengetahui tugas-tugas yang telah diamanahkan kepada mereka. Akhir sekali,semoga maklumat yang saya berikan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.





PENDAHULUAN

Bismillahirahmanirrahim dan Assalamualaikum w.b.t.

    Alhamdulillah kerana telah memberikan kehidupan yang sempurna dan memberikan kesihatan yang sihat untuk melaksanakan tugasan yang telah diberikan dengan jayanya . Segala puji-pujian bagi Allah s.w.t  yang telah menciptakan sekalian alam. Pencipta segala manusia dan Yang Maha Bijaksana dalam segala urusan-Nya.  Mudah-mudahan, kita dapat menghadapi segala dugaan-Nya dan tempuhinya dengan redha tanpa mengeluh atas ujian-Nya kepada hamba-Nya ini.
  
      Tujuan saya menulis esei adalah untuk menceritakan tentang latar belakang masjid,masalah dan penyelesaian bagi masjid ini serta cadangan yang akan saya kemukakan supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan. Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB) pada asalnya dibina hasil kerjasama serta desakan daripada penduduk yang mahukan sebuah masjid didirikan di kawasan perumahan mereka. Sejarah pembinaannya bermula dengan sumbangan sebidang tanah seluas 4 lot oleh pedagang Melayu yang dermawan ,iaitu Bachik Abdullah. Bachik Abdullah yang merupakan anak jati dari negeri Melaka telah datang menetap di Jalan Melayu, Kuala Lumpur. Beliau merupakan  ketua Orang Melayu pada ketika itu dan amat terkenal dengan sifatnya yang baik. Selain masjid, tanah perkuburan bagi penduduk Kampung Baru juga diwujudkan di kawasan berkenaan. Sejak dari itu, kawasan Kampung Baru telah menjadi tumpuan masyarakat setempat serta pedagang yang berdagang ke Kuala Lumpur.  Disebabkan pertambahan penduduk yang begitu cepat pada ketika itu, beberapa pengubahsuaian telah dijalankan bagi memperelokkan seni bina masjid ini. Sehingga ke hari ini, Masjid Jamek Kampung Baru terus mengalami perubahan dan pengubahsuaian dari segi struktur  luaran dan dalaman bagi memperindahkan kawasan masjid berkenaan.

   Setiap masjid yang terdapat di sesebuah kawasan pasti ada masalahnya. Begitulah juga di masjid di Kampung Baru ini. Antara masalah yang sering dihadapi adalah kekurangan bahan bacaan sebagai sumber rujukan. Selain itu,terdapat juga masalah kerosakan peralatan masjid seperti perkakas memasak,tempat menyimpan sejadah,rak kasut,almari buku dan banyak lagi. Bukan itu sahaja,masalah pengunjung yang sering kehilangan selipar dan kasut mereka juga akan saya huraikan dalam esei ini. Saya juga akan menceritakan program dan aktiviti tahunan yang dijalankan di masjid ini dalam usaha menarik perhatian penduduk kampung untuk berkunjung ke masjid ini. Bukan itu sahaja,saya akan mengemukakan beberapa cadangan untuk penambahbaikan masjid ini agar ia dapat memberikan kemudahan yang maksimum kepada penduduk sekitarnya.

   Diharapkan agar esei ini dapat membuka mata kita tentang pentingnya peranan serta sumbangan sesebuah masjid kepada penduduk sekitarnya. Hal ini kerana,masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk kita menunaikan solat lima waktu tetapi juga berfungsi sebagai pusat  perkembangan ilmu serta  dakwah Islamiah  bagi penduduk islam di sekitarnya.








KONSEP

v  PENGERTIAN MASJID DARI SUDUT BAHASA

Pengertian masjid dari sudut bahasa ialah : “ nama bagi tempat sujud dahi.” Dari sudut syara' pula ialah .”setiap tempat daripada permukaan bumi" dan ini pula berdasarkan sabda Nabi Muhammad Shallallahu ‘ alaihi wasalam yang berbunyi :

 مَسجِدًا الأَرضُ لِي جُعِلَت
 ( يالبخار رواه )
Maksudnya: “ Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid ( tempat bersujud )”
 (Hadis riwayat Bukhari)


v  PENGERTIAN MASJID DARI SUDUT ISTILAH

Manakala pengertian masjid dari sudut istilah pula ialah : “tempat yang disediakan khas selama-lamanya untuk bersembahyang .” sumber : (Mu’jam Lughat Al-Fuqaha’ : 428 dan I’lam As-Sajid bin Ahkam Al-Masajid: 26-27)

  
  

    Terdapat beberapa pertikaian pendapat dalam kalangan ahli falsafah mengenai takrif masjid. Ada yang menganggap semua tempat bersolat adalah masjid. Walau bagaimanapun, maksud  yang biasa digunakan adalah masjid merupakan tempat khas bagi umat Islam menunaikan solat dan telah digunakan untuk Solat Jumaat melebihi daripada 3 kali. Kalimah 'masjid' dari sudut bahasa Arab pula membawa maksud 'tempat sujud'. Kalimah ini merupakan  maksud dari sudut ilmu Balaghah di mana ia hanya menyebut satu bahagian tertentu daripada suatu perkara namun maksud sebenar adalah perkara tersebut. Kesimpulannya, masjid adalah tempat sembahyang bagi mereka yang beragama Islam dan kita sebagai umatnya haruslah mengekalkan kesuciannya.




AHLI JAWATANKUASA MASJID


            PENAUNG:  

§  YAM Tengku Datuk Seri Ahmad Shah AlHaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah AlHaj
    
      PENASIHAT :
§  Dato’ Hj. Abdul Rahim bin Mohd. Ibrahim       
         
           PENGERUSI ;
§  Dato’ Hj. Idris Shaari bin Mat Aris

           SETIAUSAHA :
§  Hj. Modin bin Ali

           BENDAHARI :
§  Hj. Kamaruddin bin Mohd. Tahir

BIRO PENGURUSAN / PENTADBIRAN :
§  Us. Saifuzzaman bin Mohamed Salleh
§  Hj. Modin bin Ali

BIRO DAKWAH:
§  Hj. Abdullah bin Awang
§  Hj. Abdul Ahad bin Hj. Abu Bakar

BIRO PEMBANGUNAN / KESELAMATAN :
§  Datuk Hj. Mohamed Nazim bin Tun Abdul Razak
§  Hj. Shahrul Azhar bin Hj. Ismail
§  Shamsuri bin Suradi

PENASIHAT UNDANG-UNDANG :
§  Hj. Mohamad Rahim bin Selamat

BIRO KERAIAN DAN JAMUAN :
§  Hj. Mohalim bin Hj. Isman

BIRO PENDIDIKAN :
§  Hj.Shamsul Bahari bin Hj. Abd. Aziz

BIRO KEBAJIKAN :
§  Hj. Zakaria bin Hj. Maidu

BIRO EKONOMI :
§  Hj. Shahrul Azhar bin Hj. Ismail

BIRO PEMUDA / REMAJA :
§  Azizulrahman bin Mohd. Hussain

BIRO WANITA :
§  Hjh. Maimunah binti Mohd. Amin
§  Hjh. Farida Hanim binti Mohamad

JURU AUDIT :
§  Cik Haslinawati binti Dato’ Hj. Idris Shaari 
  


                                          





PROGRAM

   Apabila tibanya bulan Ramadhan, Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB) akan menjadi tumpuan orang ramai kerana pihak pengurusan MJKB akan menyediakan juadah istimewa berbuka puasa iaitu Bubur Lambok Agong Masjid Jamek Kampung Baru yang sudah terkenal dalam kalangan penduduk setempat. Pihak Jawatankuasa Bubur Lambok Agong Masjid Jamek Kampung Baru juga turut menerima tajaan untuk majlis-majlis tertentu daripada  Badan-Badan Kerajaan serta Badan-Badan Korporat dari serata tempat di Malaysia. Antaranya ialah tajaan dari Jabatan Pelancongan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (Kekkwa), dan lain-lain. Bubur Lambok telah mendapat nama rasminya iaitu Bubur Lambok Agong Masjid Jamek Kampung Baru sempena dengan Kunjungan SPB YDP Agong ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada tahun 2000. Sejak dari itu, nama Bubur Lambok Agong memang sinonim dengan Masjid Jamek Kampung Baru ini. Setiap tahun di bulan puasa, pihak pengurusan akan menyediakan 10 periuk besar bubur untuk diagihkan kepada orang ramai. Keistimewaan Bubur Lambok Agong adalah dari segi penyediaannya yang berbeza serta penggunaan rempah ratusnya dimana ianya merupakan derma serta sumbangan daripada orang ramai. Melalui program ini,penduduk Kg. Baru dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama mereka.

   Selain itu, Masjid Jamek Kg Baru juga menganjurkan program Ibadah Qurban & Aqiqah. Program ini adalah di bawah anjuran Biro Perayaan Masjid Jamek Kg Baru yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Abdul Ahad bin Hj Abu Bakar dan En Mohalim bin Hj Isman. Program ini telah mendapat penyertaan sebanyak 17 ekor lembu di mana harga untuk 1/7 bahagian lembu adalah RM350.00 sahaja dan bagi penyertaan penuh harganya ialah RM2450.00. Peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam program ini terdiri daripada kalangan anak-anak kariah Kg. Baru dan dari luar kariah Kg Baru. Ramai anak-anak muda yang datang secara sukarela menyemarakkan semangat Qurban dengan membantu melapah,memotong,menimbang dan mengagihkannya kepada orang ramai. Program seperti ini seharusnya dijalankan setiap tahun kerana ia sedikit sebayak dapat membantu penduduk miskin di kawasan tersebut. 

   Bukan itu sahaja, masjid ini juga telah menjalankan Majlis Ceramah sempena sambutan Maulidur Rasul secara besar-besaran pada 14 Mac 2009 bersamaan 17 Rabiulawal. Majlis ini telah diaturkan oleh Biro Dakwah Masjid Jamek Kg Baru sendiri. Antara aturcara yang telah dirangka adalah Persembahan Berzanji dan Marhaban oleh Kumpulan Marhaban Masjid Jamek Kg Baru yang diketuai oleh Tuan Haji Mohd Khair Leman. Selepas solat Maghrib, acara Selawat beramai-ramai pula dilaksanakan dan seterusnya Bacaan Ayat Suci Al Quran oleh Johan Qari Wilayah Persekutuan dan penceramah jemputan bagi majlis ini adalah Tuan Haji Zamihan bin Mat Zin dari Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Manakala jemaah yang hadir adalah lebih dari 500 orang yang terdiri dari masyarakat setempat dan luar Kg Baru.

   Program yang seterusnya ialah Pelancaran eZakat / eDerma & Perasmian Kiosk Maju Masjid telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah pada 20 Februari 2009. Matlamat utama penubuhan Kios ATM Maju Masjid ini adalah untuk mendekatkan dan menarik orang ramai khususnya masyarakat setempat untuk datang ke masjid. Program ini juga merupakan cara yang terbaik bagi menjana ekonomi dan memudahkan urusan orang ramai menginfakkan harta mereka bagi membantu golongan yang memerlukan. Masjid Jamek Kg Baru telah menjadi tempat pertama dalam memperkenalkan teknologi ini ke seluruh masjid-masjid di Malaysia.

   Antara program kecil yang dijalankan oleh masjid ini pada tiap-tiap minggu adalah kuliah  subuh,asar dan maghrib. Selain itu,kelas pengajian Tahfiz dan Al-Quran juga dijalankan. Bukan itu sahaja,kelas pengajian yang merangkumi kelas berzanji,kelas tarannum / qiraat dan kelas pengajian muslimat dilaksanakan khusus buat anak-anak muda di kawasan sekitarnya.






MASALAH DAN PENYELESAIAN


KEKURANGAN BAHAN BACAAN :

·           Masalah utama bagi masjid ini adalah kekurangan buku-buku agama untuk dijadikan bahan bacaan serta sumber rujukan kepada pengguna. Kebanyakan buku-buku yang disediakan agak lama dan kurang menarik minat para pengunjung untuk membacanya. Selain daripada itu,saya dapati bahawa buku yang terdapat di dalam almari sudah rosak dan muka suratnya juga telah banyak yang hilang. Bukan itu sahaja, pengunjung yang telah selesai menggunakan Al-Quran tidak menyusunnya semula serta membiarkannya berada dalam keadaan yang tidak teratur sekaligus memberi kesusahan kepada pengguna lain.

   Langkah penyelesaian bagi masalah ini adalah dengan menyediakan buku-buku agama keluaran terkini agar dapat menarik lebih ramai pembaca. Pihak pengurusan juga boleh mewujudkan sudut bacaan di tempat yang sesuai. Dengan adanya sudut ini, mereka dapat mengisi masa lapang mereka dengan lebih baik sementara menunggu waktu solat yang seterusnya. Bukan itu sahaja,almari sebagai tempat menyimpan Al-Quran juga boleh disediakan agar ia kelihatan lebih tersusun serta memudahkan penggunanannya.


 KEROSAKAN PERALATAN MASJID :

  Setiap minggu kawasan ini kerap mengadakan kenduri dan majlis keraian. Oleh kerana itu,penduduk kampung akan kerap menyewa serta menggunakan peralatan memasak di masjid ini. Walau bagaimanapun,hasil daripada temubual saya dengan pihak pengurusan,mereka memberitahu saya bahawa apabila peralatan memasak dipulangkan kembali pasti akan adanya kerosakan yang teruk sehingga peralatan tersebuat tidak dapat digunakan lagi. Faktor berlakunya masalah ini adalah kerana sikap pengguna yang tidak menjaganya dengan baik. Hal ini menyebabkan banyak perkakas memasak terpaksa dibeli baru dan melibatkan kos yang banyak.

   Langkah penyelesaian bagi masalah ini pula adalah, pihak pengurusan seharusnya bertindak dengan lebih tegas. Antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah dengan mengenakan denda terhadap barangan yang telah dirosakkan. Hal ini sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada pengguna sekaligus dapat mengurangkan kerosakan. Selain itu, pihak pengurusan masjid hendaklah memilih barangan yang berkualiti ketika mereka ingin membeli peralatan memasak dan sebagainya. Hal ini kerana dengan adanya kualiti barang tersebut maka sesuatu barang itu dapat digunakan dalam jangka masa yang lama serta dapat mengelakkan pembaziran daripada berlaku.


KEHILANGAN SELIPAR DAN KASUT :

·            Masalah ini sering kali berlaku disetiap masjid terutamanya ketika musim raya. Sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap barang mereka sendiri telah memberi kesusahan kepada orang lain. Ada juga pengunjung yang tidak mengikuti peraturan masjid seperti menyusun serta meletakkan selipar / kasut ditempat yang disediakan dengan rapi. Keadaan ini juga menjadi faktor berlakunya pertukaran serta kehilangan barangan mereka.

   Sebagai langkah penyelesaian, pihak pengurusan haruslah menyediakan rak kasut dengan lebih banyak agar semua pengunjung dapat meletakkan kasut mereka ditempat yang selamat sekaligus dapat mengurangkan masalah pertukaran serta kehilangan kasut.




PENUTUP

   Syukur Alhamdulillah ke hadrat Illahi diatas kurniaan-Nya dengan memberikan saya   kekuatan dan kemudahan kepada saya dalam menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh pensyarah saya iaitu Ustaz Abd Aziz bin Harjin. Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya kepada pihak pengurusan masjid kerana telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang temubual yang telah dijalankan. Diharapkan agar esei ini dapat membuka mata kita tentang pentingnya peranan dan juga sumbangan sesebuah masjid kepada penduduk sekitarnya. Saya juga berharap agar segala cadangan yang telah dikemukan dapat dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya supaya masjid di kawasan perumahan saya ini menunjukkan perubahan positif pada masa akan datang.




BIBLIOGRAFI

1. Us. Saifuzzaman bin Mohamed Salleh , Biro Pengurusan dan Pentadbiran ,      MJKB .
3. Search internet .





                                                                     



No comments:

Post a Comment